KOTA KINABALU 10 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu, termasuk empat pegawai sebuah badan berkanun persekutuan dan dua pekerja agensi pelancongan, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu tiket penerbangan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi di pejabat SPRM Sabah ketika hadir untuk memberi keterangan.
Penahanan berkenaan dibuat susulan siasatan terhadap pembabitan mereka dalam mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembelian tiket kapal terbang menggunakan waran perjalanan udara.
“Siasatan awal mendapati butiran penerbangan disyaki dipalsukan, manakala tiada tiket penerbangan sebenar dibekalkan syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa siri tangkapan susulan dijangka dibuat berdasarkan perkembangan siasatan kes.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14075

Leave a Reply