KUALA LUMPUR 10 Feb – Penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai gelandangan di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sentul di sini pada Isnin membawa kepada penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.20 pagi.
“Sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-60an telah terbaring dalam keadaan berdarah di bahagian kepala.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, identiti mangsa setakat ini masih belum dikenal pasti.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter di bahagian kepala sebelah kanan atas telinga selain bengkak pada kelopak mata,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga penganggur bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut akan diteruskan selepas reman ke atas suspek diperoleh,” ujarnya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14078

Leave a Reply