“Pintu tak pernah berkunci” – UMNO sedia terima semula sesiapa sahaja, termasuk dari Bersatu

KUALA NERUS 10 Feb – UMNO menegaskan parti itu terbuka menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali atau menyertai UMNO, termasuk pemimpin dan ahli daripada parti lain, selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan sebagai wadah penyatuan orang Melayu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka, sama ada kepada individu mahupun kumpulan yang ingin kembali bersama parti itu.

“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai UMNO.

“UMNO adalah wadah bukan sahaja kepada ahli UMNO, tetapi juga kepada sesiapa yang mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi membabitkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dilaporkan berdepan kemungkinan tindakan disiplin termasuk pemecatan daripada parti itu.

Ahmad Zahid menjelaskan, pendekatan inklusif tersebut merupakan sebahagian usaha UMNO untuk menyatukan semula orang Melayu di bawah satu platform politik yang stabil, berpengalaman dan berteraskan kepentingan bangsa.

Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu pada 14 Disember 2018, susulan dakwaan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid ketika itu.

Namun, perkembangan terbaharu dalam Bersatu yang menyaksikan konflik dalaman kepimpinan kembali memuncak, telah mengaitkan nama Hamzah dengan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin tegas.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Bersatu itu berdepan tekanan daripada beberapa pemimpin parti yang mendesak tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14083

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *