Selangor tegas ambil tindakan rumah ibadat tidak sah, tetap jaga keharmonian kaum dan agama – Amirudin

BESTARI JAYA 10 Feb – Kerajaan Selangor menegaskan komitmennya untuk menangani isu pembinaan rumah ibadat secara tidak sah melalui tindakan berlandaskan undang-undang, namun dilaksanakan secara berhemah bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menegaskan larangan pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi peraturan akan mempercepatkan pelaksanaan tindakan sedia ada di negeri ini.

Beliau berkata Selangor mempunyai sistem tersusun bagi menangani perkara itu menerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang telah diwujudkan sejak sekian lama.

“Sepanjang 15 tahun lalu, kita bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi sesuai dan sah, malah turut mengambil tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur.

“Puluhan tindakan telah dilaksanakan dan rekod itu ada sejak 2015 lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari di sini hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan terus memperkemas kaedah tindakan agar selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada, selain memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut terbabit dalam jawatankuasa yang diselaraskan LIMAS dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta kesan terhadap kawasan sekitar.

Semalam, Perdana Menteri berkata semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi menjamin keselamatan serta kematangan negara pada masa hadapan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14084

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *