Agong tegas jangan politikkan agama, keharmonian negara mesti dipelihara

KUALA LUMPUR 11 Feb – Semua pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan sebarang isu berkaitan agama kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Malaysia dibina atas asas keharmonian, manakala kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan terhadap undang-undang.

Seri Paduka Baginda mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila baginda berperanan sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing,” titah baginda dalam hantaran yang dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Baginda bertitah, penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam bagi mengelakkan salah faham, ketegangan serta sebarang bentuk provokasi.

Menurut Seri Paduka Baginda, pendekatan saling menghormati amat penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat yang berbilang agama dan budaya. Sehubungan itu, sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat hendaklah ditangani dengan memahami serta menghormati undang-undang negara, selain diselesaikan melalui saluran yang sah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai keharmonian, toleransi dan muhibah demi kepentingan bersama.

Baginda menegaskan, semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.

Dalam hal pembinaan kuil, Seri Paduka Baginda bertitah isu berkenaan hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14098

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *