Subsidi RON95 disasar, kerajaan jangka jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion

KUALA LUMPUR 11 Feb – Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada 2026 dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan itu terhasil susulan usaha mengekang ketirisan subsidi, termasuk kegiatan penyeludupan ke negara jiran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah berkenaan turut dibantu oleh keprihatinan rakyat yang menyalurkan maklumat berhubung cubaan pembelian RON95 oleh warga asing.

“Sikap ini wajar dipuji kerana bukan sahaja mempertahankan hak sebagai rakyat Malaysia, malah mencerminkan semangat kenegaraan dan jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Lisan Dewan Rakyat, pagi tadi, bagi menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI MADANI (BUDI95) sepanjang 2025 serta unjuran penjimatan bagi 2026.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penjimatan fiskal hasil reformasi itu telah diagihkan semula kepada rakyat menerusi penambahan bantuan, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurutnya, bermula 9 Februari lalu, seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima bantuan RM100 seorang melalui MyKad.

Beliau berkata, pelaksanaan SARA Untuk Semua turut memberi limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan sebagai Rakan Niaga SARA serta pembekal barangan asas termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam tempoh dua hari pelaksanaan SARA Untuk Semua, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh kira-kira dua juta rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi mesti dipacu oleh reformasi dan reformasi pula perlu berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, lebihan fiskal hasil reformasi tidak dibiarkan ‘hilang’, sebaliknya dipulangkan semula kepada rakyat bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terus terbela.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14100

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *