KUALA LUMPUR 11 Feb – Had 300 liter sebulan yang ditetapkan di bawah program penyasaran subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) disifatkan mencukupi untuk kegunaan biasa rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penetapan had itu dibuat berdasarkan data penggunaan semasa yang menunjukkan purata penggunaan dalam kalangan penerima subsidi hanya sekitar 100 liter sebulan.
Menurut beliau, hampir 90 peratus pengguna pula tidak menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan.
“Had 300 liter sebulan untuk RON95 bersubsidi juga dilihat mencukupi untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan.
“90 peratus pengguna tidak menggunapun lebih daripada 200 liter sebulan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lin (PH-Bukit Bintang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah penjimatan dicapai menerusi pelaksanaan Budi95 sepanjang tahun 2025 serta unjuran penjimatan bagi tahun 2026 dan bagaimana hasil penjimatan itu dimanfaatkan.
Program Budi95 merupakan antara langkah kerajaan dalam memperkemas penyasaran subsidi bahan api bagi memastikan bantuan lebih tertumpu kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengawal ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan negara.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14101

Leave a Reply