PUTRAJAYA 11 Feb – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak bekerja mengikut telunjuk mana-mana pihak, termasuk tidak menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan tugasnya.
Beliau berkata, setiap siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan mandat yang diberikan kepadanya dan bukan atas arahan mana-mana individu.
“Saya tidak mengambil sebarang arahan. Saya hanya menjalankan siasatan. Malah, kes-kes lama atau ‘cold cases’ sekalipun akan disiasat sekiranya terdapat petunjuk atau maklumat baharu. Itu adalah mandat yang diberikan kepada saya.
“Saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM, hari ini.
Azam turut menegaskan beliau tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perkara yang perlu disiasat kerana ia bukan sesuatu yang tertakluk untuk dirujuk kepada mana-mana pihak.
“Saya tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri tentang apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak tertakluk untuk berbincang dengan beliau. Saya akan menyelesaikan perkara ini sendiri dan agensi ini,” katanya.
Mengulas dakwaan serta kritikan terhadapnya, termasuk membabitkan kes berprofil tinggi, Azam tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang kurang senang dengan tindakan SPRM menjalankan siasatan.
“Mungkin ada yang tidak suka saya menyiasat kes-kes berprofil tinggi. Saya tidak tahu. Mereka terus menyebarkan maklumat yang salah kepada orang ramai. Saya tidak pasti mengapa,” katanya.
Beliau turut menafikan wujud sebarang campur tangan dalam siasatan dan menegaskan SPRM merupakan satu-satunya agensi penguat kuasa di negara ini yang dipantau oleh lima jawatankuasa pemantau bebas.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14110

Leave a Reply