Rumah Ibadat: Patuhi undang-undang, jangan politikkan isu agama – YDPA

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan, serta kestabilan negara yang berbilang kaum.

Baginda bertitah, Malaysia adalah sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi, serta pematuhan kepada undang-undang. Semua rakyat, titah Seri Paduka Baginda, bertanggungjawab memelihara nilai-nilai ini demi kepentingan bersama.

“Semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat. Isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja, dan tokong,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim turut mengimbas kembali pengalaman Baginda pada Januari 2018 apabila Seri Paduka Baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah, dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam. Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing,” titah Baginda.

Baginda menekankan bahawa penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan, dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi, dan semangat muhibah,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan, serta menggugat keamanan negara.

🔗 Source: https://thereporter.my/rumah-ibadat-patuhi-undang-undang-jangan-politikkan-isu-agama-ydpa/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *