Seorang pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya yang juga seorang eksekutif bank, awal bulan ini.
Tertuduh, Amirul Shafiq Shamshul Zahari, 29, didakwa membunuh Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim antara jam 3.15 pagi hingga 8 pagi pada 2 Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik.
Terdahulu, pada 2 Februari lalu, polis menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa pada jam 8.45 pagi yang memaklumkan kejadian tersebut.
Suspek berjaya diberkas kurang 24 jam kemudian pada jam 8.34 malam ketika menaiki sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Selangor.
🔗 Source: https://thereporter.my/anak-didakwa-bunuh-ibu-berdepan-hukuman-mati/

Leave a Reply