Duta Ukraine rayu bantuan kemanusiaan dari Malaysia

Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Dr Nadolenko Hennadii, merayu kepada rakyat, kerajaan dan institusi Malaysia agar tampil membantu rakyat Ukraine yang terus berdepan penderitaan akibat perang berskala penuh Rusia yang kini hampir memasuki tahun keempat.

Dalam hantaran di Facebook, beliau menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang aman, stabil dan Makmur iaitu ‘negara cahaya matahari, hutan hujan dan angin lautan’ yang tidak pernah merasai perang sejak Perang Dunia Kedua. Katanya, kehidupan di Malaysia yang bersuhu sekitar 30 darjah Celsius sepanjang tahun menjadikan sukar untuk membayangkan penderitaan rakyat Ukraine yang kini berdepan suhu mencecah -20 darjah Celsius tanpa bekalan elektrik dan pemanasan mencukupi.

Menurut beliau, serangan berterusan ke atas sistem tenaga Ukraine telah menyebabkan ramai penduduk hidup tanpa elektrik antara 16 hingga 18 jam sehari. Infrastruktur asas seperti pemanasan dan bekalan air turut musnah akibat serangan peluru berpandu dan dron.

“Apabila suhu mencecah –20°C, serangan ke atas sistem tenaga bukan sekadar tindakan ketenteraan. Ia adalah cubaan untuk membekukan manusia hingga mati,” tegasnya.

Dr Nadolenko berkata, dalam tempoh sebulan lalu, Kedutaan Ukraine telah berulang kali mengemukakan rayuan bantuan kepada kerajaan, perniagaan dan institusi di Malaysia, namun sambutan yang diterima masih terhad kecuali beberapa inisiatif persendirian.

Beliau menekankan bahawa belas kasihan tidak mengenal sempadan, agama atau geografi. Dalam rayuannya kepada rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam, beliau turut memetik ayat al-Quran daripada Surah al-Ma’idah (5:32) dan Surah al-Baqarah (2:261) yang menekankan kepentingan menyelamatkan nyawa serta membantu mereka yang memerlukan.

“Belas kasihan bukanlah politik. Ia adalah pilihan hati,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun berdepan peperangan, Ukraine tetap menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin sebagai tanda solidariti sejagat.

Dr Nadolenko turut menyuarakan keyakinan bahawa perang itu akan berakhir dan Ukraine akan bangkit semula. Beliau berharap syarikat-syarikat Malaysia akan mengambil bahagian dalam usaha pembinaan semula Ukraine kelak, termasuk dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur baharu.

“Sikap berkecuali boleh difahami. Namun membantu mereka yang memerlukan adalah lebih tinggi daripada berkecuali,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa saat ini adalah waktu paling genting bagi rakyat Ukraine dan bantuan yang dihulurkan amat bermakna.

🔗 Source: https://thereporter.my/duta-ukraine-rayu-bantuan-kemanusiaan-dari-malaysia/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *