Olahragawan MASUM bakar semangat Aniq

PENGIKTIRAFAN Olahragawan Anugerah Sukan MASUM 2023 dan 2024 bukan penamat buat jaguh angkat berat negara, Mohammad Aniq Kasdan, sebaliknya menjadi titik mula kepada misi lebih mencabar iaitu memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemenang gangsa Kejuaraan Dunia 2023 dan tempat keempat Sukan Olimpik Paris 2024 itu menyifatkan anugerah tersebut hadir pada waktu tepat ketika dia memulakan fasa baharu karier, termasuk keputusan besar untuk beralih ke kategori 65 kilogram (kg).

“Alhamdulillah, ini satu lonjakan untuk saya. Fokus utama sekarang adalah kelayakan Olimpik LA dan pada masa sama ia jadi motivasi tambahan untuk Sukan Komanwel tahun ini,” katanya ditemui di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya semalam.

Peralihan kategori menjadi cabaran utama buat Aniq yang perlu menyesuaikan kekuatan, berat badan serta kestabilan angkatan dalam tempoh singkat bagi memenuhi tuntutan sistem kelayakan baharu.

“Untuk Olimpik, kategori 60kg tiada. Jadi saya perlu naik ke 65kg. Saya kena tambah angkatan dan naikkan berat badan. Berdasarkan pengalaman lepas, saya yakin boleh capai,” jelasnya.

Olahragawati MASUM 2023 dimenangi pemain boling padang, Aleena Ahmad Nawawi, manakala anugerah bagi tahun lalu menjadi milik pelumba berbasikal negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri.

Aniq dijadual membuka kempen musim 2026 pada Kejuaraan Asia di India April depan yang turut menjadi pentas kelayakan terakhir ke Sukan Komanwel sebelum mengharungi temasya tersebut di Glasgow, Scotland, Julai nanti.

Selepas itu, atlet berusia 22 tahun berkenaan akan meneruskan program pertandingan wajib bagi mengumpul jumlah angkatan terbaik menjelang pusingan kelayakan awal Olimpik yang dijangka bermula hujung musim.

Dalam usaha memperkukuh persediaan, Aniq merancang menjalani latihan luar negara dengan Jepun atau Korea menjadi pilihan bagi menyesuaikan diri dengan suasana dan standard latihan lebih kompetitif.

“Saya lebih suka latihan di luar negara kerana dapat sparring partner berbeza. Pengorbanan berjauhan dengan keluarga juga jadi motivasi tambahan untuk saya,” katanya.

Selepas melalui musim sukar akibat kecederaan tendon tangan tahun lalu, Aniq mengesahkan dia sudah pulih sepenuhnya, namun mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam latihan.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/12/olahragawan-masum-bakar-semangat-aniq/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *