PGIRM jelaskan cadangan dividen bersasar KWSP, mahu pendekatan terkawal dan berhemah

KUALA LUMPUR 12 Feb – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menjelaskan bahawa cadangan berhubung pengagihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Akaun Fleksibel bukan bersifat menyeluruh, sebaliknya dilaksanakan secara bersasar dan terkawal.

Penjelasan itu dibuat susulan artikel analisis disiarkan Sinar Harian bertajuk “Syor dividen KWSP ke Akaun Fleksibel kurang relevan.”

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, berkata pihaknya menghormati pandangan yang diketengahkan serta memahami kepentingan mengekalkan fungsi utama KWSP sebagai dana simpanan persaraan jangka panjang.

“Cadangan yang dibangkitkan bukan bertujuan mengagihkan keseluruhan dividen kepada semua 16 juta pencarum. Ia bersifat bersasar dan hanya melibatkan pencarum yang benar-benar terkesan dengan tekanan kos sara hidup serta komitmen kewangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara terkawal dengan garis panduan yang jelas supaya tidak menjejaskan kestabilan dana KWSP.

“Kita mencadangkan had tertentu, contohnya antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah dividen tahunan pencarum yang layak, dan ia hanya boleh dipohon secara sukarela serta melalui proses tapisan yang ketat.

“Tiada pemindahan automatik. Hanya mereka yang memenuhi syarat seperti pendapatan isi rumah di bawah ambang tertentu, kehilangan pekerjaan, tunggakan komitmen asas atau kecemasan perubatan wajar dipertimbangkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan cadangan itu hendaklah tertakluk kepada penilaian aktuari bagi memastikan kecairan dan pulangan dana kekal stabil.

“KWSP mesti kekal sebagai instrumen simpanan persaraan yang mampan dan berdisiplin. Apa yang kita cadangkan ialah keseimbangan antara kelangsungan hidup hari ini dan jaminan masa depan pencarum,” katanya.

Azmi berkata, PGIRM mengalu-alukan perbahasan yang berfakta dan konstruktif dalam ruang media sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh dasar awam negara.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14117

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *