Selangor henti lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat – Amirudin

KUALA LUMPUR 12 Feb – Kerajaan Selangor memutuskan untuk menghentikan pemberian lesen penternakan babi serta menutup segera ladang-ladang yang masih beroperasi di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, ketetapan tersebut dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor.

“Bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan daging babi bagi masyarakat bukan Islam di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain dan selepas keputusan tersebut, keseluruhan bekalan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkaitan.

“Keputusan ini diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.

“Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya isu penternakan babi di Selangor ditamatkan sepenuhnya berikutan kesannya terhadap alam sekitar serta mengambil kira komposisi demografi penduduk negeri itu.

Baginda turut bertitah agar kerajaan negeri memberikan lesen mengimport daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor.

Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan bahawa operasi ladang tersebut berpotensi mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

Sebelum ini, campur tangan baginda turut menyebabkan kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk memusatkan industri penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14132

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *