Azam Baki sedia disiasat isu pegangan saham

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 13 Feb – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

Azam berkata, beliau terbuka jika kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti perkara tersebut secara khusus dan telus.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan kerana semua pengisytiharan kewangan serta harta telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif untuk menentukan fakta berdasarkan bukti serta berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Pendekatan ini penting bukan sahaja bagi mempertahankan integriti peribadi saya, malah untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen supaya kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguat kuasa, setiap individu yang berdepan tuduhan wajar bersikap terbuka serta memberi ruang kepada siasatan bebas.

“Prinsip ini terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.

Azam menambah, sepanjang perkhidmatannya beliau kekal berpegang kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti serta akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan.

“Saya yakin kebenaran akan ditegakkan melalui proses yang adil dan bebas,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa SPRM sentiasa meneliti setiap laporan atau aduan yang dikemukakan termasuk oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menilai maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta hasil siasatan.

“Tiada sesiapa berada di atas undang-undang, dan tiada sesiapa juga wajar dihukum hanya berdasarkan persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14143

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *