SIBU 13 Feb – Deretan lapan unit kedai di Jalan Pahlawan, Sungai Merah di sini runtuh dalam kejadian awal pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.45 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba hanya enam minit selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 2.46 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati runtuhan melibatkan satu blok deretan yang menempatkan lapan unit kedai.
“Operasi segera dijalankan bagi mengesan kemungkinan terdapat mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan penyelamat turut melakukan pencarian fizikal di sekitar kawasan terjejas dan hasil pemeriksaan mengesahkan tiada individu terlibat atau terperangkap dalam kejadian tersebut.
Keadaan di lokasi dilaporkan terkawal dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi selepas kawasan disahkan selamat.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca runtuhan, manakala jumlah kerugian yang dialami peniaga masih dalam penilaian.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14144

Leave a Reply