Wanita hamil 7 bulan maut dipercayai dibunuh suami

Seorang wanita hamil tujuh bulan dilaporkan maut dipercayai dibunuh suaminya sendiri dalam kejadian tragis di sebuah rumah sewa di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo, mangsa berusia 34 tahun ditemukan tidak bernyawa dan berlumuran darah di dalam bilik rumah berkenaan sekitar pukul 7 pagi. Lebih menyayat hati, mangsa ketika itu sedang sarat mengandung anak kedua.

Pemilik rumah, Atikah Sulaiman, 44, berkata, suami mangsa datang ke rumahnya pada waktu subuh dalam keadaan tenang sambil memimpin tangan anak sulung mereka yang berusia empat tahun.

Menurutnya, lelaki itu kelihatan seperti biasa tanpa sebarang kesan darah pada pakaian, malah sempat minum air kotak bersama anaknya. Suspek memaklumkan mahu membuat laporan polis dengan mendakwa isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan bayi yang dikandung bukan anaknya.

“Saya tanya mana isterinya, dia beritahu isteri ada dalam bilik dan sudah mati dibunuh. Pada mulanya saya sangka dia bergurau. Namun dia kemudian menunjukkan keadaan isterinya yang sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya.

Atikah memaklumkan pasangan suami isteri itu sudah lima tahun menyewa di rumah berkenaan dan tidak pernah menimbulkan masalah. Mereka dikatakan baru dua bulan pulang ke Kota Tinggi selepas menetap di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan penyakit suspek.

Katanya, sebelum ini suami mangsa bekerja sebagai pemotong rambut, namun tidak lagi bekerja selepas pulang ke daerah itu. Mangsa pernah memaklumkan bahawa suaminya mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang menjalani rawatan di Kuala Lumpur.

Sepanjang tinggal di situ, pasangan berkenaan juga dimaklumkan tidak pernah culas membayar sewa dan jiran-jiran juga tidak mendengar sebarang pertengkaran atau bunyi bising pada pagi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa yang merupakan etnik Rohingya ditemukan dengan kesan hentakan serius di kepala.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 7 pagi sebelum menahan seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun sekitar lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dihentak menggunakan objek tumpul, dipercayai lesung.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

🔗 Source: https://thereporter.my/wanita-hamil-7-bulan-maut-dipercayai-dibunuh-suami/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *