Wan Saiful kesal Bersatu abaikan isu rakyat, sibuk dengan akaun Facebook

KUALA LUMPUR 15 Feb – Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan, melahirkan rasa kecewa terhadap hala tuju parti itu yang menurutnya tidak lagi memberi penekanan kepada isu utama melibatkan rakyat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa kepimpinan semasa lebih memberi perhatian kepada pengurusan akaun Facebook parti berbanding memperjuangkan perkara berkepentingan awam.

Menurutnya, beberapa isu besar termasuk dakwaan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, isu melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta dakwaan berkaitan ‘jual negara’ tidak ditangani secara agresif oleh parti ketika ini.

“Saya sedih melihat perkembangan dalam Bersatu. Banyak isu rakyat tidak disentuh, tetapi pengurusan akaun Facebook pula menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.

Wan Saiful yang pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Bersatu berkata, situasi sedemikian tidak pernah berlaku ketika beliau mengendalikan portfolio berkenaan sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan keadaan tersebut sebagai gambaran terhadap kualiti barisan pegawai atasan yang dipilih Presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Dalam nada sinis, beliau mempersoalkan kemampuan parti itu mengurus hal dalaman sekiranya pengendalian media sosial juga didakwa gagal dilaksanakan dengan baik.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14170

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *