LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyeru barisan pemain untuk membuktikan mereka serius memburu gelaran quadruple dengan melakar kemenangan ke atas Wigan Athletic dalam aksi pusingan keempat Piala FA malam ini.
Sebagai rekod, skuad The Gunners ketika ini berdepan tekanan tinggi selepas gagal melakar kemenangan ke atas Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Menurut Arteta, bukan mudah untuk pasukan fokus mengharungi aksi kompetitif setiap tiga hari pada empat kejohanan berbeza dan semua pemain sudah berikan yang terbaik.
Arteta berkata, sekarang adalah masa yang terbaik untuk ‘reset’ mentaliti pasukan dengan kemungkinan besar pemain yang jarang diberikan minit permainan akan diturunkan pada aksi di Stadium Emirates nanti.
“Kita mengharungi jadual pada dan saya setuju untuk merombak kesebelasan utama. Sekarang adalah masa untuk rehatkan pemain-pemain yang banyak berjuang sebelum ini.
“Saya harap sesiapa sahaja yang diturunkan dapat pamer aksi yang sempurna untuk pastikan kita lolos ke pusingan seterusnya sekali gus buktikan kualiti yang ada pada pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Arsenal, Declan Rice turut berharap pasukan dapat menutup telinga daripada segala kritikan dan bangkit memburu kemenangan.
“Sukar untuk mana-mana pasukan kekal konsisten sepanjang 70 perlawanan semusim tetapi apa yang boleh kita lalukan adalah beri yang terbaik di atas padang,” katanya. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/15/arsenal-perlu-serius-buktikan-keinginan/

Leave a Reply