MANCHESTER – Manchester United sedia menawarkan kontrak baharu buat pertahanan senior, Harry Maguire selepas mempamerkan prestasi cemerlang di bawah kendalian Michael Carrick.
Sebagai rekod, Maguire menjadi salah seorang daripada tulang belakang skuad The Red Devils selain Bruno Fernandes dan Casemiro untuk membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah sejak lima perlawanan lalu.
Pihak pengurusan United sebelum ini sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan Casemiro, manakala masa depan Fernandes dan Maguire pula masih menjadi tanda tanya.
Maguire yang menyertai United daripada Leicester City pada 2019 masih belum diberikan sebarang tawaran meskipun kontraknya berbaki kurang empat bulan sahaja lagi.
Difahamkan, pertahanan tengah England itu dikatakan sanggup membuat ‘pengorbanan’ termasuk menerima potongan gaji daripada anggaran £190,000 (RM1 juta) seminggu demi persetujuan dapat dicapai.
Jika gagal, Maguire dilaporkan sedia untuk berkelana ke Serie A selepas menarik minat beberapa kelab ternama di Itali yang sedia menawarkan gaji lumayan kepadanya musim depan.
Selain itu, United didakwa sudah memiliki perancangan jangka panjang apabila memantau kelibat pertahanan muda Gambia, Sedi Kinteh sebagai pengganti kepada Maguire nanti.
Kinteh yang beraksi di Liga Norway Bersama kelab Tromso dikatakan memiliki potensi masa depan yang cerah selain kepantasannya seperti tonggak pertahanan Tottenham Hotspur, Micky van de Ven. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/15/maguire-sanggup-berkorban-potong-gaji/

Leave a Reply