Kanak-kanak 4 Tahun ditemui lemas dalam kolam ikan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut disyaki akibat lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Perik, Kuala Nerang, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.15 petang itu, mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed, difahamkan sedang bermain pasir di kawasan berhampiran kolam berkenaan sebelum disedari hilang oleh kedua-dua ibu bapanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Affzanisham Mohammad Sham berkata, ibu bapa mangsa mula mencari anak mereka selepas menyedari kelibatnya tiada di lokasi permainan tersebut.

“Ketika usaha mencari dijalankan, mereka menemui kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan. Pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam.

Mayat kanak-kanak itu seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat yang mengesahkan punca kematian akibat lemas.

🔗 Source: https://thereporter.my/kanak-kanak-4-tahun-ditemui-lemas-dalam-kolam-ikan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *