Erma Fatima kembali mengarah, projek Malaysia-Indonesia jadi tumpuan

KUALA LUMPUR 16 Feb – Selepas hampir 10 tahun meninggalkan kerusi pengarah, Erma Fatima kembali mencuri perhatian apabila memberi bayangan terlibat dalam sebuah projek baharu yang menghimpunkan pelakon terkenal Malaysia dan Indonesia.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, memuat naik beberapa foto berada di set penggambaran menerusi Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas, “Lama tak rasa macam ini”.

Perkongsian itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemunculannya semula sebagai pengarah selepas sedekad.

Antara pelakon yang dilihat terlibat ialah Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah Liyana dan Anna Jobling.

Turut kelihatan barisan pelakon Indonesia seperti Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg serta Valentino Peter.

Hantaran tersebut turut menggunakan lagu Wahai Pemilik Jiwa nyanyian Opick sebagai latar audio.

Ketika dihubungi, Erma memaklumkan beliau sekadar melepaskan rindu untuk kembali mengarah.

“Lepas gian selepas 10 tahun tak direct. Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana nak tayang,” katanya ringkas.

Untuk rekod, karya terakhir arahannya ialah telefilem Pesan Dari Tuhan yang dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14186

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *