Polis siasat kes Along letak kepala babi depan rumah, kedai di Kuala Pilah dan Tampin

SEREMBAN 6 Mac – Polis menerima dua laporan berhubung tindakan meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah serta di sebuah kedai di Pekan Tampin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata mangsa dalam kedua-dua kejadian itu merupakan dua lelaki Melayu yang mempunyai pertalian keluarga.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu saling berkait dan dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along.

“Siasatan mendapati ia bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana mana individu, tetapi disyaki bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan bayaran hutang dipercayai oleh along yang sama melakukan simbah cat di kedai tersebut sebelum ini.

“Kedua-dua kes ini kini di siasat di bawah Seksyen 504 iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkit pecah keamanan dan seksyen 506 kanun keseksaan iaitu ugutan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Susulan itu, Alzafny turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung insiden berkenaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14476

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *