Gaduh dalam balai polis hanya kes terpencil, tak perlu nilai semula SOP – Saifuddin

MELAKA 6 Mac – Insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak memerlukan penilaian semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di semua balai polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rakaman video yang tular di media sosial tidak menggambarkan situasi sebenar, malah tiada sebarang serangan terhadap balai polis seperti didakwa.

“Cerita sebenar berbeza dengan sebahagian hantaran di media sosial yang mendakwa sekumpulan lelaki menyerang balai polis.

“Hakikatnya, dua kumpulan bergaduh di luar balai dan daripada pergaduhan itu satu kumpulan masuk ke balai polis untuk membuat laporan tetapi pihak satu lagi kemudian turut masuk bagi menghalang laporan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh pada Khamis.

Menurutnya, susulan kejadian itu, anggota polis yang bertugas bertindak menenangkan semua individu terlibat bagi mengawal keadaan.

“Ini hanyalah satu kes terpencil dan kita tidak boleh menilai keseluruhan tahap keselamatan balai polis hanya berdasarkan satu insiden.

“Kita mempunyai garis panduan seperti Inspector-General of Police Standing Orders (IGPSO) yang menjadi rujukan kepada semua balai polis di negara ini,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan menjadi motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru, Kapar.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan mendapati kesemua suspek terlibat saling mengenali dan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Menurutnya, lapan suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan dalam tiga operasi berasingan dan direman sehingga esok serta lusa bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan selain Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14477

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *