Ketepi fahaman politik, lapan parti duduk semeja musyawarah isu Islam dan Bumiputera

KUALA LUMPUR 8 Mac – Satu pertemuan melibatkan parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera dari pelbagai blok politik berlangsung dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang diadakan petang tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pertemuan di Ibu Pejabat UMNO di World Trade Centre Kuala Lumpur itu menghimpunkan lapan parti politik utama.

Menurutnya, parti yang terlibat ialah United Malays National Organisation (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Berjasa (BERJASA), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik sememangnya boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan atau pembangkang.

“Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua parti yang hadir bersetuju menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

Katanya, sekretariat itu akan berfungsi sebagai platform bagi menyediakan ruang perbincangan, rundingan dan dialog secara terbuka, telus serta berterusan berkaitan isu berkepentingan bersama yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14475

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *