KAJANG 31 Mac – Pencapaian memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan keupayaan pelajar terus cemerlang walaupun tanpa melalui peperiksaan utama di peringkat awal persekolahan.
Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan calon SPM 2025 sebagai generasi yang mempunyai daya tahan tinggi, meskipun merupakan kohort pertama yang tidak menduduki peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata peningkatan pencapaian keputusan SPM 2025 membuktikan bahawa ketiadaan peperiksaan berkenaan tidak menjejaskan keupayaan pelajar, sebaliknya membentuk kekuatan dan ketahanan diri yang lebih kukuh.
“Ini adalah generasi yang sering dibincangkan sebelum ini kerana mereka tidak melalui UPSR dan PT3.
“Namun, kita mengambil pendekatan yang positif dan hari ini keputusan yang dicapai membuktikan bahawa mereka merupakan kohort yang mempunyai daya tahan yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Tinggi Kajang, di sini pada Selasa.
Fadhlina turut berbangga dengan pencapaian calon SPM 2025 yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, selain membuktikan keupayaan mereka melalui prestasi akademik yang memberangsangkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPM melaksanakan pelbagai langkah intervensi secara berterusan dan konsisten bagi menyokong pelajar di semua peringkat.
Katanya, pendekatan akauntabiliti telah diperkenalkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, khususnya melibatkan peranan pengetua dalam memastikan kehadiran pelajar sentiasa dipantau.
“Fokus utama adalah kehadiran pelajar, selain menyediakan sistem sokongan termasuk bantuan dari segi sosioekonomi kepada pelajar yang memerlukan, serta sokongan akademik melalui pelbagai program,” katanya.
Beliau menjelaskan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Madani, kerjasama dengan Kementerian Kewangan serta program ziarah cakna yang melibatkan guru turun padang ke rumah pelajar bagi memastikan mereka terus kekal dalam sistem pendidikan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM akan terus memperkukuh usaha menangani isu ketidakhadiran calon SPM, walaupun terdapat penurunan jumlah pelajar yang tidak hadir pada 2025 berbanding sebelum ini.
“Walaupun dari segi kehadiran itu dapat dikurangkan berbanding daripada awal kita mengambil kali alih kerajaan ini sehingga hari ini, intervensi itu harus terus diperlukan.
“Jadi, kita sudah ada Dasar Pendidikan Wajib, yang saya pasti ia akan memberikan kesan secara keseluruhan,” jelasnya lagi.
Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.
Seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.
Sementara itu, jumlah calon yang tidak hadir menduduki SPM 2025 menurun kepada 7,099 orang berbanding 8,108 pada 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kadar kehadiran pada tahun berkenaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14978

Leave a Reply