KOTA BHARU 5 Nov – Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga kekasihnya dalam kejadian di Ketereh, Mei lalu.
Tertuduh, Anamul Hassan Rahamatullah, berusia lingkungan 30-an, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Menurut pertuduhan, Anamul didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun empat bulan di sebuah rumah di Kampung Lachang, Ketereh, pada Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, tidak mencadangkan sebarang wang jaminan berikutan kes berkenaan dianggap serius dan berat.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan jurubahasa.
Tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12300

Leave a Reply