Pelajar SPM terselamat, bapa diserang sawan ketika memandu hingga rempuh rumah

BALING 5 Nov– Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan hari pertama terselamat dalam insiden kereta dinaikinya merempuh dinding sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Charuk Sikin, Kupang, hari ini.

Kejadian berlaku ketika bapa pelajar berkenaan, yang datang menjemput anaknya pulang ke rumah mereka di Kupang, dipercayai diserang sawan ketika memandu.

Difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, lelaki berusia lingkungan 40-an itu cuba memegang stereng dengan kuat bagi mengelak daripada melanggar orang, namun tindakan itu menyebabkan Perodua Viva dipandunya hilang kawalan dan merempuh struktur rumah tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.35 petang.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku secara tiba-tiba ketika kereta dipandu perlahan.

“Bapa mangsa ketika itu tersepit tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Pelajar itu memaklumkan bapanya mempunyai rekod sawan dan dia sudah menyedari tanda-tanda serangan sebelum kejadian,” katanya.

Pelajar berkenaan hanya mengalami luka di bahagian bibir, manakala bapanya mengalami pendarahan kecil di kepala.

Zulkhairi berkata, enam anggota termasuk Pegawai Bomba Kanan II Zulhelmi Bahari terlibat dalam operasi dan turut memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada ambulans serta polis untuk tindakan selanjutnya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12305

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *