KUALA LUMPUR 17 Nov– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima dan menyiasat sebanyak 1,417 aduan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sejak 1 Januari 2020 hingga 31 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesalahan di bawah peruntukan itu melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan aduan tersebut, 61 kes telah didakwa di mahkamah, manakala 40 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM727,500.
“Sebanyak 167 kes dikeluarkan Notis Amaran, manakala 1,149 kes selebihnya merupakan kes yang masih dalam siasatan serta kes yang tidak diambil tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mengenai jumlah individu yang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233 dari 2020 hingga 2025.
Seksyen 233 memperuntukkan hukuman terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian termasuk penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, tidak sopan serta komunikasi yang mengancam.
Mengulas perkembangan semasa, Fahmi memaklumkan bahawa 545 kes direkodkan setakat 31 Oktober tahun ini, manakala 315 kes dicatatkan pada 2024 dan 155 kes pada 2023.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12335

Leave a Reply