KUALA LUMPUR 7 Nov – Polis menahan enam lelaki warga India bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki senegara yang ditemukan mati di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata semua suspek yang ditahan merupakan rakan serumah kepada suspek utama yang telah dikenal pasti dan kini sedang diburu polis.
“**Suspek utama dalam kes ini ialah seorang lelaki warga India dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
“Setakat ini, empat saksi termasuk pengadu kes sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,**” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan terdapat rakaman yang boleh membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa yang berusia 49 tahun bekerja sendiri sebagai juru elektrik dan telah menetap di Malaysia kira-kira 19 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga India yang juga pemegang status pemastautin tetap ditemukan maut di tangga sebuah rumah kedai di kawasan sama, kira-kira jam 8.30 malam, sebelum pihak berkuasa tiba untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa menyewa bilik di rumah kedai berkenaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12345

Leave a Reply