Lelaki Malaysia ditahan di Thailand, 75kg ketamin disorok dalam kereta

KUALA LUMPUR 9 Nov– Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas ditemukan 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di dalam kereta dipandunya dalam satu operasi di Wilayah Chumphon pada Khamis lalu.

Penahanan itu hasil operasi Bahagian Siasatan Narkotik (NSB) Polis Diraja Thailand bersama Polis Wilayah Chumphon sekitar jam 11.40 pagi di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, Daerah Tha Sae. Polis Wilayah 8 turut serta dalam operasi berkenaan sebagai sebahagian usaha mengetatkan kawalan di laluan selatan negara itu bagi membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan.

Menurut laporan media Thailand, Siam Focus Time, polis menahan sebuah Nissan hitam bernombor pendaftaran Malaysia yang dilihat mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan menggunakan mesin X-ray. Hasil imbasan membawa kepada penemuan ruang rahsia di bahagian belakang kenderaan tersebut.

Pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik vakum berisi ketamin seberat 75kg yang dianggarkan bernilai lebih 70 juta baht (kira-kira RM9 juta).

Suspek warga Malaysia berusia 25 tahun itu mengaku diupah individu tidak dikenali untuk membawa kereta berkenaan dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000, namun mendakwa tidak mengetahui terdapat dadah tersembunyi di dalamnya.

Lelaki terbabit ditahan atas kesalahan memiliki dan menjual bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.

Suspek bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Narkotik Wilayah 4 untuk siasatan lanjut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12375

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *