Duda 70 tahun dicekup berkhalwat dengan janda muda di Johor Bahru

JOHOR BAHRU 10 Nov – Seorang duda berusia 70 tahun ditahan bersama seorang janda dalam lingkungan 30-an selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah kampung di daerah ini, kelmarin.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi dijalankan sekitar jam 9 pagi selepas penguat kuasa membuat kepungan di sekeliling kediaman berkenaan.

Menurut JAINJ, ketika pintu rumah diketuk, seorang lelaki membuka sedikit pintu namun cuba menutupnya kembali setelah menyedari kehadiran penguat kuasa. Percubaan itu gagal dan pegawai berjaya memasuki rumah selepas memperkenalkan diri.

“Lelaki itu kelihatan ketakutan. Pemeriksaan awal menemukan seorang kanak-kanak berusia empat tahun sedang tidur di ruang tamu,” katanya.

Pemeriksaan di dalam bilik tidak menemui sesiapa, namun setelah pintu bilik air diketuk, seorang wanita dalam keadaan berkemban keluar dalam keadaan terkejut dan dipercayai baru selesai mandi.

Siasatan mendapati lelaki itu adalah duda kematian isteri, manakala wanita terbabit merupakan janda yang mempunyai seorang anak dan berasal dari daerah lain. Wanita berkenaan juga didapati sudah dua hari berada di rumah lelaki tersebut.

Pasangan itu memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk bernikah namun masih mempunyai beberapa urusan yang belum diselesaikan.

Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12388

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *