PETALING JAYA, 10 Nov – Polis Daerah Petaling Jaya sedang mengesan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang dilaporkan hilang sejak 6 November lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Bin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita dikenali sebagai R. Samala Davi a/p Veera Ragayan, berbangsa India, pada 8 November sekitar jam 1.38 petang.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat di kawasan Jalan Timur, Petaling Jaya, sebelum dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga.
“Wanita berkenaan dilaporkan keluar dari rumah pada 6 November 2025 kira-kira jam 11 pagi dan sehingga kini tidak pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa memiliki ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berwajah bulat dan bertubuh berisi (gempal). Mangsa juga mempunyai tanda inai merah di tengah dahi, berkulit cerah dan berambut hitam panjang paras pinggang.
“Ketika kali terakhir dilihat, beliau memakai baju Punjabi berwarna merah atau ungu, berseluar panjang hitam dan berselipar hitam,” jelasnya.
Shamsudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Baalanaagan a/l Chanderan di talian 014-8882388 / 016-3583960 / 03-79662222 bagi membantu siasatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12392

Leave a Reply