MACHANG 13 Nov – Dua daripada 13 individu yang ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri, Kubang Kerian kelmarin dikenal pasti sebagai bekas pengikut ajaran Ayah Pin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata kedua-dua lelaki itu turut dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing, bersama tiga lagi individu lain.
Beliau berkata, kumpulan yang ditahan itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.
“Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini terlibat dengan ajaran sesat apabila dua daripadanya dikenal pasti sebagai bekas pengikut Ayah Pin.
“Siasatan juga mendapati mereka berhimpun di depan istana untuk menyerahkan barangan lama kepada Sultan Muhammad VI (Sultan yang akan datang), bukannya Sultan Muhammad V,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang hari ini.
Menurut Mohd. Yusoff, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk peranan tiga penduduk Orang Asli yang turut terlibat dalam himpunan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Media sebelum ini melaporkan, 13 individu termasuk seorang wanita dan tiga Orang Asli ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri kerana dipercayai mahu menyerahkan barangan lama kepada pihak istana.
Mohd. Yusoff berkata, semua individu berusia antara 26 hingga 67 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.
Sumber memaklumkan, pemeriksaan terhadap beberapa suspek menemukan senjata tajam seperti keris, lembing, kelewang, pedang dan benet, selain beberapa barangan lain seperti tongkat buluh, teko tembaga, cawan tembaga, rantai manik, duit syiling pelbagai mata wang, akar kayu dan songket berwarna kuning.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12471

Leave a Reply