Adam Radlan disyaki berada di luar negara, SPRM minta balik segera bantu siasatan projek Lebuhraya MEX 2

KUALA LUMPUR 16 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, yang sedang dicari bagi membantu siasatan projek Lebuhraya MEX 2, berada di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam masa terdekat bagi mengesan keberadaan ahli politik berusia 44 tahun itu.

“Kita syak beliau berada di luar negara. Kerjasama dengan Imigresen akan dibuat dalam masa terdekat. Paling penting keberadaan beliau. SPRM menyeru beliau segera balik bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, SPRM mengeluarkan notis mengesan Adam Radlan, yang beralamat terakhir di Sunway Pallazio, Sri Hartamas, bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya–KLIA (MEX 2).

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penguasa Sharan Raj Govindasamy di talian 014-3560771 atau melalui emel sharanraj@sprm.gov.my.

Adam Radlan sebelum ini turut dikaitkan dengan projek Jana Wibawa, namun beliau dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta yang ditawarkan SPRM.

Mahkamah Sesyen sebelum itu dimaklumkan bahawa kompaun berkenaan dipersetujui SPRM selepas mempertimbangkan representasi yang dikemukakan tertuduh.

Mengikut pertuduhan dalam kes Jana Wibawa, Adam Radlan didakwa meminta suapan antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd ketika itu, Mat Jusoh Mamat, selain menerima suapan RM500,000 sebagai upah membantu mendapatkan projek bernilai RM47.8 juta di Perlis.

Beliau juga berdepan beberapa pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada dua individu sebagai balasan membantu mendapatkan projek lain di bawah program sama.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12514

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *