Penjara ‘sesak’, banduan dalam negara cecah 84,000 orang melebihi kapasiti maksimum

KUALA LUMPUR 17 Nov – Jumlah banduan di seluruh negara kini mencecah lebih 84,000 orang, sekali gus melebihi kapasiti maksimum penjara yang hanya boleh menampung 76,000 individu, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, setakat ini seramai 84,143 banduan ditempatkan dalam fasiliti penjara, manakala 6,640 lagi berada di luar penjara menerusi program pemulihan komuniti.

“Kapasiti sebenar penjara adalah 76,311 orang. Ini menunjukkan berlaku kesesakan dan lebihan sebanyak 7,872 orang daripada keseluruhan kapasiti,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN–Padang Besar) mengenai langkah kerajaan mengurangkan kesesakan penjara akibat kesalahan dadah serta sama ada KDN bersedia menilai semula dasar sedia ada termasuk cadangan dekriminalisasi penggunaan dadah secara terkawal dan pengalihan pesalah kecil ke program pemulihan komuniti.

Dr Shamsul berkata, kerajaan melalui KDN kini melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan dan pemulihan bagi menangani kesesakan penjara berkaitan kesalahan dadah.

Menurutnya, penubuhan Pusat Koreksional Chenderiang, Tapah adalah antara langkah penting untuk mengasingkan pesalah jenayah dadah di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pengasingan ini membolehkan pelaksanaan rawatan dan program pemulihan yang lebih fokus dan berpusat. Seterusnya, kita persiapkan banduan untuk menyertai program pemulihan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu bukan hanya membantu mengurangkan kesesakan penjara utama, malah berpotensi mengurangkan kadar pesalah berulang.

Inisiatif pemulihan turut diperkukuh melalui program komuniti, termasuk sistem parol dan pembebasan banduan secara berlesen.

“Ini adalah program yang memberi peluang kepada banduan yang layak untuk menjalani proses pemulihan di luar tembok penjara dalam persekitaraan yang terkawal dan dipantau.

“Ini selaras dengan hala tuju penjara supaya dua pertiga banduan yang layak dapat mengikuti program pemulihan komuniti dan secara langsung mengurangkan tekanan kapasiti penjara serta menyokong proses integrasi semula ke dalam masyarakat,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12531

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *