GOMBAK 19 Nov – Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati insiden runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Batu Caves semalam berpunca daripada perlanggaran ‘boom’ jentera skylift yang digunakan ketika kerja pemeriksaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata perlanggaran itu berlaku ketika subkontraktor Wuhan Construction Sdn. Bhd. menjalankan kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur berkenaan.
“Selain itu, kerja berisiko tinggi berkenaan dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn Bhd.
“Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR ) sudah mengarahkan baki struktur ‘steel canopy’ yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.
“Siasatan awal JKKP mendapati struktur binaan yang runtuh itu adalah struktur perlindungan sementara bagi mengelakkan objek jatuh ke jalan raya dan tidak direka untuk menampung beban hentakan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya dihempap struktur runtuhan sebelum berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Abdul Rahman berkata, JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan terhadap kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, bagi menghalang kerja pemeriksaan ketebalan cat diteruskan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan pihak berkuasa.
“Semua kontraktor dan subkontraktor mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan secara berterusan sepanjang tempoh projek.
“Pendekatan ini penting bagi mengenal pasti bahaya, mengambil langkah pencegahan yang sesuai serta seterusnya mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan,” katanya.
Beliau berkata siasatan terperinci akan diteruskan bagi menentukan punca sebenar insiden selain memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan.
Dalam masa sama, JKKP turut diarahkan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas jajaran ECRL yang berdekatan jalan raya bagi memastikan semua kontraktor mematuhi peraturan ditetapkan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12600

Leave a Reply