KUALA LUMPUR 22 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada Julai 2025.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan jenayah rasuah, manakala penelitian dokumen berkaitan masih giat dijalankan.
“Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas siasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan tersebut,” katanya.
Isu itu turut mendapat perhatian apabila dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semasa Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.
Zainul menegaskan komitmen SPRM untuk memastikan integriti serta tadbir urus negara diperkukuh, sejajar usaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12667

Leave a Reply