Anwar puji komitmen Kenya dalam tangani kemiskinan dan perumahan mampu milik

NAIROBI 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen tinggi Kenya dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik, menyifatkannya sebagai contoh kepimpinan yang ‘cukup mengagumkan’.

Berucap pada majlis santapan negara yang dihoskan Presiden Kenya, William Samoei Ruto malam tadi, Anwar berkata program besar-besaran negara Afrika Timur itu untuk membina lebih 150,000 unit rumah bagi komuniti berpendapatan rendah merupakan model kepimpinan yang luar biasa.

Anwar berkata, komitmen itu turut selari dengan pendekatan Malaysia dalam menangani isu kemiskinan tegar.

“Saya, seperti anda, sangat memandang serius soal pembasmian kemiskinan dan penyediaan perumahan untuk golongan miskin serta masyarakat umum,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan inspirasi terhadap fokus Kenya yang menggunakan kuasa dan tadbir urus bagi mengangkat martabat rakyat miskin, selaras dengan semangat perjuangan Presiden pertama Kenya, Jomo Kenyatta, yang memperjuangkan kebajikan rakyat sejak era kemerdekaan.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Kenya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Katanya, Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik, selain turut ingin belajar daripada pembangunan pesat serta iltizam tinggi Kenya.

Perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan hari ini melibatkan aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas sempena mesyuarat dua hala pemimpin.

Anwar, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Dalam rekod perdagangan, Kenya muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dengan jumlah dagangan RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi lewat hari ini, menandakan tamatnya lawatan tiga negara beliau ke benua Afrika.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12683

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *