SEREMBAN 24 Nov – Suasana di sebuah pusat hiburan di Taman AST bertukar kecoh apabila seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam dan dipukul dalam satu pergaduhan berkumpulan awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dikejar sekumpulan lelaki sebelum dipukul menggunakan kerusi dan kotak ketika cuba menyelamatkan diri.
Video berdurasi satu minit 26 saat itu turut menunjukkan mangsa berlari ke arah kaunter untuk mendapatkan perlindungan, namun dikepung dan dibelasah bertubi-tubi sehingga dia rebah tidak sedarkan diri. Seorang kakitangan premis turut dilihat cuba menghalau kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.
“Kami sedang mengenal pasti jumlah individu terbabit dan meneliti rakaman CCTV untuk mengesan identiti suspek serta punca kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut meminta saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12682

Leave a Reply