KUALA LUMPUR 24 Nov – Cuaca tidak menentu terus melanda beberapa negeri apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku pada pagi ini.
Menerusi kenyataan MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu melibatkan kawasan sekitar Lembah Klang, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Bera, Pahang; manakala Selangor membabitkan kawasan Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Situasi sama turut dijangka berlaku di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pagi ini.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) bagi kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Keadaan angin kuat serta laut bergelora itu dianggap berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan air.
MetMalaysia turut memaklumkan paras air laut dijangka meningkat di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan sehingga esok.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12680

Leave a Reply