Pemandu disyaki sawan rempuh kereta di Jalan Hang Tuah

MELAKA 24 Nov – Seorang pemandu dipercayai mengalami sawan sebelum merempuh sebuah kereta lain di hadapannya dalam kejadian di Jalan Hang Tuah, di sini semalam.

Kemalangan kira-kira jam 1.50 petang itu berlaku ketika sebuah Honda Civic dipandu lelaki berusia 26 tahun sedang membelok ke kanan dari arah Jonker Walk menghala ke Jalan Tun Ali.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pada masa sama sebuah Honda Jazz dipandu seorang mekanik dari arah belakang tiba-tiba melanggar bahagian belakang Honda Civic berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang melibatkan bumper, bonet, ekzos, tayar, fender dan pintu.

“Siasatan awal mendapati pemandu Honda Jazz, seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai mengalami sawan ketika memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu Honda Jazz dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh di kawasan berkenaan dan kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial apabila pemandu Honda Jazz dilihat tidak sedarkan diri selepas kemalangan sebelum dikejutkan orang ramai, dan kemudian memberi reaksi seolah-olah baru mengalami serangan sawan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12681

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *