ISKANDAR PUTERI 25 Nov – Seorang wanita sanggup mereka-reka cerita kononnya dirogol dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh seorang pemandu e-hailing selepas dimarahi keluarga kerana pulang lewat ke rumah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, wanita berkenaan membuat laporan polis pada jam 10.27 pagi Isnin.
“Wanita itu mendakwa pada jam 8.30 malam Ahad, dia telah dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dalam kereta seorang pemandu e-hailing di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati laporan itu hanyalah rekaan semata-mata kerana pengadu takut dimarahi keluarganya setelah pulang lewat ke rumah.
Menurut Kumarasan, wanita yang tidak bekerja itu sudah dirakam keterangan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana tindakan tersebut menyusahkan siasatan dan menjejaskan bantuan terhadap mangsa jenayah sebenar.
“Perbuatan membuat laporan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya,” tegasnya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12710

Leave a Reply