TANAH MERAH 26 Nov – Hasrat seorang anak untuk membawa ibunya berpindah ke rumah saudara-mara akibat banjir bertukar tragedi apabila kereta dinaiki mereka terjerlus ke dalam lubang sebelum dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Siti Gayah Zakaria, 70, ditemukan lemas selepas dihanyutkan ke arah anak Sungai Batu 5, manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, terselamat selepas bergelut menyelamatkan diri.
Shamila Suzie berkata, dia masih terkilan kerana gagal menyelamatkan ibunya walaupun sudah berjaya membuka pintu kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandunya ketika kenderaan itu hanyut dibawa arus.
“Selepas banyak kali menarik tangan ibu, saya sudah hilang tenaga dan hanya dapat menyelamatkan diri sendiri. Saya ketika itu sudah penat dan hanya mampu meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari ibu yang lemas.
“Anggota bomba menjumpai jasad ibu kira-kira pukul 7.49 pagi tadi. Kereta saya yang hanyut pula ditemukan tersangkut pada pembetung air di anak sungai itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman, berkata seramai enam anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi, sebelum jasad mangsa ditemukan pada 7.49 pagi dan diserahkan kepada polis.
Menurut beliau, kes itu merupakan insiden kedua membabitkan mangsa lemas di Kelantan sepanjang musim tengkujuh tahun ini, selepas kematian seorang wanita warga Indonesia yang dihanyutkan kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12746

Leave a Reply