Simpanan pensyarah hampir RM1 juta licin akibat terpedaya skim pelaburan janji pulangan 1,000 peratus

JASIN 26 Nov — Hasrat seorang pensyarah wanita untuk menggandakan simpanannya bertukar mimpi ngeri apabila kerugian hampir RM1 juta selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga 1,000 peratus hanya dalam beberapa minit.

Mangsa berusia 40 tahun itu dilaporkan terpikat dengan iklan “belajar trading saham” yang tular di Instagram pada 28 Julai lalu sebelum menekan pautan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera dan mengarahkannya memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan kononnya bagi tujuan pendaftaran akaun pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran itu mangsa nekad mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan ini mampu memberi pulangan luar biasa.

“Antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Namun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dalam tempoh dua hingga lima minit.

“Malah, suspek turut meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum kononnya membolehkan keuntungan dikeluarkan.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu dan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Lee turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat, terutama jika pembayaran diminta ke akaun persendirian yang lazimnya menunjukkan unsur penipuan.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule, dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12736

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *