LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak mahu terlalu memikirkan mengenai masa depannya di Anfield selepas merekodkan kekalahan kesembilan apabila kali ini diaibkan 1-4 oleh PSV Eindhoven di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Slot menjelaskan beliau tiada ‘kuasa’ menutup mulut pengkritik memandangkan situasi pasukan ketika ini berada pada tahap terendah, tewas tiga kali berturut-turut sejak menang ke atas Real Madrid awal bulan ini.
“Sama ada adil atau tidak (berbicara tentang masa depan), saya tidak fikir ia adalah perkara penting kerana itu adalah normal dan saya dapat memahaminya.
“Ia adalah satu perkara biasa jika orang memberikan pendapat apabila pasukan mencatatkan jumlah kekalahan seperti kami hadapi sekarang.
“Adil atau tidak, biar orang yang menilai. Jika ada pasukan sering kalah seperti kami, orang pasti akan mula bercakap mengenainya,” katanya.
Couhaib Driouech meledak dua gol buat PSV diikuti dua lagi daripada Ivan Perisic dan Guus Til, manakala gol tunggal Liverpool di Anfield dihasilkan oleh Dominik Szoboszlai.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/masalah-liverpool-semakin-kritikal-2/

Leave a Reply