Tak bayar gaji, kurung lepas kerja, lapan ejen didakwa eksploitasi 43 pekerja Indonesia

KLANG 28 Nov – Lapan ejen sebuah syarikat pembersihan termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 174 pertuduhan memperdagangkan dan mengeksploitasi 43 wanita warga Indonesia untuk tujuan buruh paksa, bulan lalu.

Dua beradik terbabit, Ng Thir Ngin, 45, dan kakaknya Ng Ser Wei, 48, bersama Mohd Syakir Hanin Mohd Wazer, 39; Ng Chun Hou, 44; Lim Xin Jie, 30; dan Lim Wei Jian, 28, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Turut mengaku tidak bersalah ialah dua tertuduh warga Indonesia, Ismaidah, 38, dan Siti Nurjanah Menah, 36.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa memperdagangkan 43 wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 44 tahun dengan tujuan eksploitasi kerja melalui penyalahgunaan kedudukan mangsa yang terdedah kepada ancaman pemerdagangan manusia.

Pertuduhan dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 dan 11 Oktober lalu di beberapa lokasi sekitar Klang termasuk Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Bestari dan Bandar Botanik.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta memohon syarat tambahan ke atas dua tertuduh warga asing iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Peguam Harpal Singh merayu jaminan secara kolektif bagi semua anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM470,000 bagi kesemua tertuduh dan membenarkan syarat tambahan terhadap dua tertuduh warga asing terbabit. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Januari tahun depan.

Bulan lalu, polis dilaporkan menyelamatkan 49 wanita Indonesia dalam serbuan ke atas lima premis kediaman di sekitar Klang.

Mangsa dipercayai dipaksa bekerja sebagai pekerja pembersihan harian tanpa menerima gaji, malah dikawal ketat dan dikurung selepas waktu kerja.

Operasi menyelamat dijalankan oleh Bahagian D3 Bukit Aman bersama Pejabat Strategik Nasional MAPO (NSO MAPO) menerusi Ops Pintas Tip (Buruh Paksa) dari 10 hingga 13 Oktober lalu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12804

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *