Pekerja kontrak sesak nafas akibat terhidu gas bertoksik

KEMAMAN 1 Dis – Sembilan pekerja kontrak mengalami sesak nafas selepas terdedah kepada gas bertoksik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Taman Perindustrian Biopolimer Kerteh (KBP), semalam.

Kesemua mangsa berusia 23 hingga 40-an dipercayai terhidu gas ammonia atau methyl mercaptan pada kira-kira pukul 6.51 petang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Rohaya Jamil berkata, ketika kejadian, sebahagian mangsa yang terdiri daripada warga tempatan dan Bangladesh sedang menjalankan kerja pembersihan tangki reaktor berterusan di kilang tersebut.

“Mereka tiba-tiba mengalami gangguan pernafasan selepas terhidu sisa gas bertoksik yang terdapat dalam tangki berkenaan.

“Pekerja lain segera membantu menyelamatkan mangsa sebelum mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Paka oleh pihak pengurusan kilang,” katanya.

Menurutnya, seramai 18 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai insiden itu.

Pasukan bomba kemudiannya berjaya menurunkan bacaan gas berbahaya tersebut pada pukul 1.05 pagi.

“Enam mangsa dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12845

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *