SPRM nafi dakwaan rampas barangan Albert Tei tanpa prosedur

PUTRAJAYA 1 Dis – Semua barangan milik ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, yang disita pada hari penahanannya direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan serta disahkan sendiri oleh beliau.

Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata senarai lengkap rampasan telah ditandatangani Albert, dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 turut diserahkan kepadanya pada 28 November lalu.

“Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.

“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barangan Albert Tei tanpa mengikut prosedur,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, pihaknya sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa.

Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan peguam mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan suaminya secara tidak sah.

Peguam berkenaan turut memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM untuk mengeluarkan inventori harta yang didakwa dirampas ketika penahanan Albert tiga hari lalu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12847

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *