Tengku Zafrul serah kepada kerajaan berkaitan peranan baharunya

KUALA LUMPUR 1 Dis – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan bahawa beliau akan terus berkhidmat dalam kerajaan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemungkinan peranan baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Nampaknya saya diberi peluang untuk terus berkhidmat. Dalam kapasiti apa, saya juga masih menunggu,” katanya sambil menegaskan bahawa segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri berhubung kedudukan Tengku Zafrul ketika berucap melancarkan kereta elektrik (EV) pertama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), QV-E di sini, hari ini.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Senator pada 10 Disember 2022 sebelum menerajui MITI sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar. Tempoh jawatan Senator yang disandang beliau akan berakhir esok.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri MITI, Ketua Setiausaha dan seluruh warga kementerian atas sokongan sepanjang tiga tahun mengetuai MITI.

“Esok adalah hari terakhir saya di MITI. Saya amat menghargai amanah dan kerjasama yang diberikan. Sudah tentu ada rasa sedih untuk meninggalkan kementerian, namun saya yakin pasukan MITI berada dalam landasan kukuh untuk terus memacu sektor pelaburan dan perindustrian negara,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan mengekalkan semua insentif pemasangan tempatan (CKD) bagi EV sehingga akhir 2027 dalam usaha memastikan harga EV kekal mampu milik kepada pengguna.

Katanya, kesinambungan insentif tersebut penting memandangkan majoriti model EV CKD yang ditawarkan ketika ini dijual bawah RM100,000, sekali gus lebih mudah dicapai rakyat.

“Langkah ini membantu mengekalkan harga EV yang berpatutan. Kita berharap selepas 2027, masih ada ruang untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh insentif EV, khususnya kerana banyak model bawah RM100,000 dan pada masa sama menjadi buatan Malaysia,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12846

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *